Tuesday, July 31, 2007

Tanda Sahabat

28 Julai 2007
Bersama sahabat baik, Zaid. Dan isterinya Adzra


Seminggu sudah tidak menulis. Ruh dan semangat sudah mulai rindu untuk menulis sesuatu yang tertulis di minda.

Seminggu ini tidak banyak kesempatan masa untuk melayari internet. Masa-masa aku habiskan untuk membantu sahabat baikku Zaid untuk majlis perkahwinannya. Jika ada ruang masa aku habiskan membaca buku Monuments Of Syria dan mengulangkaji semula Sirah Nabawiah.

Berair mata mengenang rentetan hidup Rasulullah S.A.W.

Kagum dengan Ross Burns, Sejarawan yang mampu menulis sejarah Syria dengan baik dari bukunya yang sering aku baca.

Jika ingin menilai seseorang sebagai seorang kawan, mudah, senang dapat. Macam nak cari mukhalal di mana-mana restoran di negara arab. Berkenalan, berbual boleh menjadi kawan. Tetapi jika ingin dinilai sebagai sahabat. Ia cukup sukar. Banyak 'syarat' perlu ada untuk mendapat status tersebut..Status itu tetap dan tidak berubah-ubah seperti status di YM.

Bagi aku kawan dan sahabat berbeza pada nilainya.

Berkenalan, berkawan, sanggup susah dan senang bersama, berbincang dan buat keputusan dengan sepakat, bila ada ralat faham ia sebagai kekurangan dan tidak pernah mengeluh, menegur bila salah, gembira bersama, susah dipikul berdua. Tolong menolong tanpa berkira, bersabar dengan apa jua. Semuanya menjadi satu yang erat, menjadi sahabat.

Memang sukar untuk mencari seorang sahabat.

Sanggup susah bersama, gembira ketawa biasa.

Alhamdulillah, untuk seminggu ini aku telah cuba menunaikan syarat sebagai sahabat untuk sahabat baikku Zaid dalam urusan majlis perkahwinannya. Bermula dari mencari rumah kelamin di Mu'tah pada hari pertama, membasuh rumah di hari kedua, memasang karpet di hari seterusnya, mengangkut barang, bermukim di Amman untuk urusan majlis perkahwinannya. Syukur semuanya masih mampu aku lakukan.

Tahniah untuk Zaid dan Adzra kerana telah selamat diijabkabulkan. Semoga Allah panjangkan jodoh sehingga akhir hayat dan dikurniakan anak-anak yang bakal menjadi Jil Soleh dan Solehah pejuang agama Allah.

Tanya tentang 'Ushaikim'..tentu kawan tidak mengetahui apakah itu? Apa ada disitu?..Kecuali sahabat paling baik yang bersama untuk tahu..

Tanya apa yang aku tahu tentang sahabat paling baik..mungkin aku boleh menjawab lebih dari apa yang aku ketahui tentang diriku..

Tuesday, July 24, 2007

'Nomad' Di Bumi Asing


Jika masyarakat Badwi di Jordan berpindah randah 4 kali setahun, aku turut menjadi seperti mereka ketika 86 purnama 'berjiran' di padang berbukit selatan Jordan.

Jika badwi mengangkut khemah, membawa haiwan ternakan, bezanya aku mengangkut beg, kitab-kitab dan peralatan rumah.

Jika badwi berpindah disebabkan kawasan mereka tinggal tidak sesuai dengan cuaca pada musim tertentu, bezanya aku berpindah disebabkan tuan rumah 'mencekik' dan keadaan rumah sudah tidak sesuai.

Jika badwi memilih di mana-mana sahaja tanah untuk mereka tinggal, bezanya aku masih memilih rumah batu hanya di kawasan Mu'tah. Tidak keluar dari kawasan itu.

Jika badwi berpindah randah 4 kali setahun, bezanya aku berpindah setiap setahu sekali.

Jika badwi tinggal percuma di mana-mana tanah mereka kehendaki, bezanya aku kena bayar sewa la..

Menjadi 'badwi' di bumi asing...

1
Tempoh Menetap
Jun 2000 hingga September 2001 (15 bulan)

Harga Sewa
JOD 100
[4 bilik, 1 bilik air, 1 dapur, ruang tamu]

Sebab Pindah
Tuan Tanah Kedaung menaikan harga rumah dari JOD 100 ke JOD 150.

Catatan
Terletak di tengah-tengah pekan Mu'tah dan berhadapan dengan Masjid Syuhada'. Rumah ini bermasalah besar dari asalnya kerana terpaksa berkongsi eletrik dengan kedai roti Anwar Mekah.

2
Tempoh Menetap
Oktober 2001 hingga November 2002 (13 bulan)

Harga Sewa
JD 100
[3 bilik, 1 bilik air, 1 dapur, ruang tamu]

Sebab Pindah
Tuan Rumah menjadi 'binatang'. Menipu budak melayu dengan Akad Bayt (Perjanjian Menetap) sehingga membabitkan penguatkuasa tempatan dan kes mahkamah.

Catatan
Bangunan ini di sewa dengan pengurusan persatuan pelajar Mu'tah. Terdapat 7 buah rumah dengan setiap rumah mempunyai 3 buah bilik, 1 dapur dan 1 tandas. Bayaran setiap rumah adalah JD 100. Tuan rumah adalah seorang yang kaya. Mempunyai kedai kimpalan besi. Beliau dari kabilah Zneibat yang menetap di Karak.

Tuan rumah sangatlah busuk hati dan langsung tidak bertimbang rasa. Beliau menipu dengan menggunakan wasilah Akad Bayt untuk menipu wang pelajar melayu. Berurusan dengan mahkamah sehingga membabitkan pembayaran wang beribu ringgit.Allah maha kuasa. Pembalasan Allah akan tiba. Tidak di dunia. .di akhirat confirm jua.

3
Tempoh menetap
November 2002-Januari 2004 (14 bulan)

Harga Sewa
JD 70
[2 bilik, 1 bilik air, 1 dapur, ruang tamu]

Sebab Pindah
Tuan rumah minta pindah disebabkan ada penyewa yang ingin membayar harga lebih tinggi dan penyewa itu pula dari kalangan arab dan berkeluarga.

Catatan
Tuan rumah yang paling baik pernah aku jumpa. Abu Bakar dari kabilah Kasasbah. Rumah ini dijadikan Bilik Gerakan Persatuan Anak Perak ketikamana aku menjawat jawatan Presiden Perak pada ketika itu.

4
Tempoh Menetap
Februari 2004-November 2004 (9 bulan)

Harga Sewa
JD 70
[3 bilik, 1 bilik air, 1 dapur, ruang tamu]

Sebab Pindah
Masalah air. Hanya 1 meter tangki air dan menyusahkan kami tinggal berempat.

Catatan
Tuan rumah dari kabilah Sorairah. Rumah ini agak usang dan kami berjiran dengan arab Mesir. Kawasan rumah ini dikenali dengan Hayyu Burkei kerana terdapat kolam air zaman kerajaan Rum berhampiran dengan rumah ini. Ketika masuk ke rumah ini macam-macam benda kena baiki dan sampai sekarang tak dapat klim pun dari tuan rumah.

5
Tempoh Menetap
November 2004-April 2006 (17 bulan)

Harga Sewa
JD 80
[3 bilik, 1 bilik air, 1 dapur, ruang tamu]

Sebab Pindah
Masalah Air kumbahan yang memaksa semua penghuni di bangunan tersebut membayar sejumlah wang yang membebankan.

Catatan
Rumah paling selesa pernah aku tinggal. Tuan rumah merupakan orang kaya Mu'tah yang mempunyai aset bangunan yang begitu banyak.

6
Tempoh Menetap
Mei 2006-Mac 2007 (10 bulan)

Harga Sewa
JD 160
[6 bilik, 2 dapur, 2 bilik air, 2 tandas, 2 ruang tamu- rumah berkembar]

Sebab Pindah
Menamatkan pengajian di Universiti Mu'tah. Berpindah ke Malaysia :)

Catatan
Rumah paling jauh dari pekan Mu'tah pernah aku tinggal. Tuan rumah dari Kabilah Garallah yang menetap di Kathrabba. Rumah ini tidak siap sepenuhnya di tingkat atas. Pernah di duduki seramai 13 orang ahli rumah.

Inilah kenangan berpindah 'khemah' sepanjang menjadi penghuni di Mu'tah. Kenangan yang sukar aku lupakan..Alhamdulillah aku ditakdirkan berpindah 6 kali sahaja..ada seorang sahabat karib berpindah sebanyak 13 kali sepanjang 5 tahun beliau di Mu'tah.. :)

Sunday, July 22, 2007

Jom Makan Ikan..


Panas membahang.

Begitulah keadaan cuaca di Aqaba 2 hari yang lalu. Dalam masa 3 minggu sudah 3 kali aku ke Aqabah. 29 Jun yang lalu aku mengikuti rombongan pelajar Perak, 18 Julai aku menjemput keluarga Zaid di Terminal Feri Aqaba. Mereka baru pulang dari Mesir melalui Nuweiba dan 2 hari yang lalu aku mengikuti rombongan pelajar Kedah Jordan.

Aqaba sudah 'sinonim' dengan ikan. Apabila pelajar-pelajar di Jordan ke Aqaba antara 'misi'nya ialah mencari makanan-makanan laut. Samada Samak (ikan), Jambari (Udang) atau Kalamari (Sotong). Sudah pasti semua mencari altenatif makanan lain setelah saban hari mengadap ayam dan daging.

Muka bumi Jordan yang terlalu sikit mempunyai laut dan terdapat hanya beberapa sungai menjadikan makanan laut/sungai sukar untuk di dapati. Persisiran laut di Jordan hanya di Aqaba itupun sepanjang 21 km sahaja. Sungai yang terdapat hanyalah sungai Jordan yang bersambung ke Sungai Yarmuk dan terus ke Tasik Tabari. Yang lain adalah sungai-sungai kecil yang 'tiada' hasil ikannya.

Di bandar Amman, ikan mudah di dapati di pasaraya-pasaraya besar namun harganya memang mahal. Mungkin boleh membayar harga sewa rumah sebulan jika ingin menikmatinya. Jika ada yang murah di pasar-pasar ia adalah ikan yang sudah lama dibekukan. Jika di Souq Khadrawat Downtown Amman, terdapat juga ikan yang diimport dari Port Said, Mesir dan Oman, harganya 'boleh tahan' namun tak ramai yang ingin membelinya dari Amman lalu membawanya pulang ke kampung masing-masing. Leceh jika menaiki bas 'mengusung' ikan.

Oleh sebab jarang-jarang dapat makan ikan di Jordan, kali ini rehlah ke Aqaba seperti 'membalas dendam' untuk menikmati ikan di Jordan. Rehlah anak Kedah ke Aqaba pada kali ini adalah untuk mengadakan mesyuarat pertukaran sesi pentadbiran. Bak kata YDPnya sebelum berangkat ke Aqaba:

"Kita pi sana makan ikan la kali ini..takpa, duit Kedah pun ada lagi. Kita guna makan-makan untuk budak Kedah kali ni.."

Pelajar Kedah di Jordan tak ramai. Adalah dalam 20 orang. Itupun ramai yang tak dapat ikut serta disebabkan masing-masing ada urusan. Aku turut menjadi ahli persatuan Kedah di Jordan iaitu sebagai ahli tidak rasmi. Iaitu ahli di mana mak atau ayah ahli tersebut adalah orang Kedah.

Antara Pelajar-pelajar Kedah dan Utara yang menuntut di Jordan
Dari kiri Afifuddin (Usul Feqh), Khazri (Usul Feqh), Athiq (Medic),
Hazimin (Usuluddin), Zafril (Medic), Tarmizi (Sastera Arab),
Jafni (Medic), Hafizuddin (Usul Feqh)

Bila sampai di Aqaba, program yang biasa di jalankan ialah aktiviti bebas. Semua peserta bebas bersiar-siar dan membeli belah di bandar Aqaba. Aku, Hafizuddin (YDP), Khazri mula sibuk mencari ikan di pasar ikan Aqaba untuk memasak makan malam pada sebelah petangnya. Banyak jugalah pilihan ikan yang ada. Agak mahal, namun yang penting ia adalah ikan-ikan yang segar. Bukan seperti ikan beku 3 bulan yang terdapat di Kedai Ikan 'RedBull' di Mu'tah. Atau ikan takdak kepala yang agak mudah didapati di Jordan (Ikan Kacang= dikenali dengan ikan takda kepala oleh pelajar-pelajar di Mu'tah)

Jenis ikan yang dibeli memang xtahu. Nampak macam best saja ikan tue, kami pun beli..hehe.

Akhirnya selamatlah kami membeli ikan dari 2 buah kedai ikan di Aqaba. JOD 53
dibelanjakan untuk membeli ikan tersebut. Iaitu hampir-hamipr RM 263..kalau di Malaysia boleh kenduri satu kampung dah. Harga tersebut adalah untuk 2 ekor ikan besar untuk dibuat masak lemak dan 5 ekor ikan sederhana untuk dipanggang dan ia untuk 17 orang peserta rehlah..

Petang harinya, selamatlah ikan-ikan tersebut di panggang dan dibuat masak lemak. Memang nikmat menikmati ikan setelah hari-hari memakan ayam dan daging sahaja...

Bersyukur di atas nikmatNya..

Ikan kecik sekilo JD 7 (RM35) semuanya3kg
dan yang besar sekilo JD 4 (RM20) semuanya 8.25kg.


Ikan masak lemak dan IkanPanggang. :)
Bahan-bahan masak lemak dah di blend dari rumah.
Manakala ikan panggang di saluti dengan minyak bijan &
Seasoning Salt


Friday, July 20, 2007

Terima Kasih Senior!

Dari kiri Najib, Hazimin, Imran, Joshuade dan Rosli
Gambar kenangan di Bukit Sila'. Banyak ilmu dan pengalaman
aku belajar dari senior-senior. Terima kasih..


Berjauhan beribu kilometer dengan keluarga- hidup di bumi asing. Menempuh hari-hari baru dalam hidup, berhadapan masyarakat baru berbeza budaya, tidak boleh berbahasa melayu di pasar-pasar. Seperti baru hidup. Semua ditempuhi dalam suasana serba baru dan asing.


6 kisah 7 tahun yang lalu + satu 'kisah' sekarang..

1. Suatu petang aku di'arahkan' oleh seorang senior untuk membeli ayam di pekan Mu'tah. Petang itu kali pertama aku terpaksa memasak di rumah. Percubaan pertama aku untuk memasak di Jordan. Aku bertanya kepada senior tersebut bagaimana cara nak membeli ayam di kedai. Senior tersebut menjawab;

"Pergi ke kedai ayam berdekatan lampu isyarat dan cakap pada arab Mesir yang jual ayam tu Biddi Nus Kilo Dajaj (aku mahu setengah kilo ayam)"

Aku dengan penuh yakin terus ke kedai ayam dan terus meminta daripada penjual ayam apa yang disuruh oleh senior tadi. Berulang-ulang kali aku cakap pada penjual tersebut perkataan yang sama. Setiap kali aku cakap dia balas semula cakap arab dan aku tidak faham. Kemudian aku membuat gaya tangan setengah untuk memberitahunya aku mahu setengah ekor ayam. Dia gelengkan kepala pulak. Aku terus cakap ayat yang sama. Biddi Nus Kilo Dajaj.. akhirnya aku di halau dari kedai tersebut.

Kebetulan lalu seorang senior berhampiran lampu isyarat. Aku 'mengadu' padanya yang aku dihalau oleh arab dan tak mahu jual ayam pada aku. Aku cerita padanya yang aku mahu beli setengah ekor ayam dari kedai tersebut. Terus senior itu ketawa..

"Mana boleh beli setengah ekor ayam kat kedai tu..dia jual sekor-sekor"

= baru seminggu aku di Jordan. Terima kasih senior!

2. Setelah sebulan aku berada di Jordan. Visa aku telah tamat tempoh dan perlu di perbaharui dengan Visa sementara untuk tempoh 3 bulan. Aku, Fadhlan dan Mutazam telah dibantu oleh seorang senior ke balai polis di Mazar untuk memperbaharui visa. Ketika sampai di balai polis kami telah lewat 3 hari untuk memperbaharui visa dan dikenakan bayaran denda JD 1.500 setiap hari. Kami terpaksa pergi ke balai polis Karak untuk membayar denda tersebut dan kembali semula ke balai polis di Mazar untuk menyambung urusan memperbaharui visa. Semua ini dibantu oleh senior.

= dah sebulan aku di Jordan. Terima kasih senior!

3. Senior-senior banyak mengadakan kelas-kelas untuk membantu junior-junior memahirkan bahasa arab. Mereka sanggup meluangkan masa walaupun keletihan untuk membantu pelajar-pelajar baru di dalam pelajaran. Aku amat berterima kasih kepada mereka.

= Oktober 2000. dah 4 bulan aku di Jordan. Terima kasih senior.

4. Saban hari aku di ajar oleh senior perkataan-perkataan baru untuk bermualamat (berkomunikasi) dengan masyarakat arab. Seorang senior membawa aku jalan di bandar Amman sambil makan aiskrim berhadapan Rum Teater Amman. Dia mengajar aku ayat-ayat baru untuk berkomunikasi dengan arab. Mengajar aku untuk mencari seluar dan baju-baju terpakai di tengah downtown Amman, memberitahu aku di mana boleh mendapatkan kitab-kitab pengajian yang baik. Semuanya diterangkan.

= dah 2-3 bulan aku di Jordan. Terima kasih senior!

5. "Ketika musim sejuk jangan pasang Sobah (alat untuk memanaskan suhu bilik) ketika hendak tidur. Boleh mati dengan perbuatan tersebut." Pesan seorang senior

= musim sejuk 2000, dah 6 bulan aku di Jordan. Terima kasih senior!

6. Aku mengembara ke Kota Sila' di Tofilah bersama beberapa orang senior. Sepanjang perjalanan aku amat menyanjungi mereka kerana pandai bermualamah dengan arab. Berani bercakap walaupun ada juga perkataan-perkataan yang salah. Mereka pandai mengambil hati arab sehinggakan boleh bersahabat dengan arab. Aku mendapat ilmu cara-cara bermualamah dengan arab dan jangan bersombong dengan arab.

= dah 8 bulan di Jordan. Terima kasih senior!


7. "Belila ayam abang jimin. Lapar ni..Masakla best-best"

= 7 tahun aku di Jordan. Terima kasih la Junior!

Wednesday, July 18, 2007

Warna Kehidupan di Amman

Amman 17 Julai 2007

Hari ini aku ke Amman bersama seorang kawan arab Aid 'Udah Dararjah Al-Khirsyeh. Seorang pemandu van yang amat masyhur dikalangan pelajar Mu'tah. Hari ini Aid mendapat pelanggannya pelajar Malaysia Universiti Mu'tah yang mempunyai urusan di Malaysian Student Deparment (MSD) di Amman. Setelah menghantar mereka ke MSD, aku dan Aid mula 'pusing-pusing' sekitar bandar Amman.


Wadi Abdoun
Aku melalui kawasan Wadi Abdoun terus ke Hayyu Nazzal untuk ke downtown. Antara kawasan penduduk berpendapatan rendah di tengah ibu kota Amman. Terdapat masyarakat beragama Druze di Hayyu Nazzal. Dari Wadi Abdoun aku menuju ke Muhajirin dan terus ke downtown Amman (Balad)


Downtown Amman.
Makan tengahari di Restoran Al-Quds berhadapan Souq Khadra' (Pasar Sayur) downtown Amman. Reesh (Rusuk kambing bakar), Shugof (daging kambing bakar), Khawareeq (sup kaki kambing) dan Nasi selamat masuk ke perut kami untuk lunch di downtown Amman. Keadaan di balad sangat sibuk dengan manusia membelah belah di pasar dan deretan kedai yang ada. Golongan marhaen yang memenuhi kawasan downtown. Mereka-mereka yang kaya raya di Jordan jarang menampakkan muka di kawasan downtown yang agak 'busuk' dan berstatus rendah. Golongan kaya raya dan 'kayap kaya' di Jordan akan membeli belah 'bermewah' di kawasan-kawasan di anggap standard serta berkelas tinggi seperti di Shemasani, AL-Rabiah, Swefiyah dan Abdoun.

Hadaiq, Shemasani
Masyarakat arab memenuhi kawasan ini untuk bersantai di Fun Fair. Dilengkapi oleh beberapa permainan yang di anggap moden oleh arab di sini. Aku hanya berada di dalam van dan Aid mengambil angin di luar. Banyak kelihatan kereta-kereta dari Saudi Arabia, Qatar, UAE dan beberapa negara teluk yang lain. Inilah situasi ketikamana musim panas tiba. Arab dari negara teluk 'berpusu-pusu' datang ke negara Jordan, Syria, Lubnan dan Turki untuk 'menukar' angin. Mungkin mereka sudah tidak sanggup berpanas di negara mereka. Manakan tidak, badan mereka boleh setengah masak apabila hidup di dalam cuaca 50 darjah ke atas.

Center Shemasani
Antara kawasan mewah di ibu negara Jordan. Kelihatan ditepi-tepi jalan semuanya kereta-kereta mewah bersidai. Banyaknya dari negara teluk. Mereka memilih restoren mewah sekitarnya untuk dinner, berbual sambil menikmati Hookah.

Abdoun
Di katakan kawasan paling mewah di Amman? Rumah-rumah yang dibina semuanya berkelas tinggi. Abdoun turut menempatkan bangunan pejabat-pejabat kedutaan dari kebanyakkan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia. Aku melalui Abdoun untuk ke Suweifiyah.

Suweifiyah
Turut dikelaskan kawasan berstatus mewah di bandar Amman. Hari sudah malam dan manusia semakin bertambah berpeleseran di kawasan Suweifiyah.

Sepanjang perjalanan balik ke Mu'tah aku terfikir. Jika arab terus disogok dengan kemewahan melampau. Bilalah dorang akan sedar untuk membela nasib-nasib umat Islam dari bangsa arab sendiri yang terus ditindas. Bila aku lihat perwatakan, penampilan mereka sudah cukup untuk disimpulkan bahawa banyak di antara mereka telah hanyut di bawa kemewahan..

Ya Allah. Tetapkan hatiku untuk membela agamaMu. Sedarkanlah umat Islam yang lupa pada akhiratMu dan berikanlah kemenangan untuk mereka yang menjaga agamaMu..

Tuesday, July 17, 2007

Mendaki Jabal Hamam

Di puncak Jabal Hamam.
Kelihatan Empangan Tannur dan Bukit Tannur di bawah
dan berhadapan Jabal Hamam. Sekelilingnya merupakan
Wadi Al-Hisa yang memisahkan muhafazah Karak dan Tafilah


Kawasan selatan Jordan meliputi 4 buah muhafazah (negeri) iaitu Karak, Tofilah, Ma'an dan Aqabah. Kawasan tersebut merupakan kawasan penempatan masyarakat peribumi Jordan. Terutamanya muhafazah Karak dan Tofilah. Jika kawasan paling selatan Aqaba penduduk kini dipenuhi oleh mereka yang datang dari Saudi Arabia dan Mesir, kawasan Amman dipenuhi rakyat palestin yang jumlahnya hampir 80% jumlah penduduk. Kawasan Irbid, Jerash dan Ajloun di utara mereka sudah mirip seperti penduduk Syria.

Pagi hari raya Aidiladha tahun 2003 selepas solat raya di Masjid Syuhada' Mu'tah (Di negara Jordan/Arab solat hari raya seawal jam 6.30 pagi) aku dan Zaid bersama seorang arab yang senang dikenali sebagai Abu Suhaib telah merancang untuk pergi ke sebuah kawasan yang bernama Wadi Al-Hisa. Wadi tersebut merupakan kawasan lembah bergunung yang menjadi sempadan antara
muhafazah Karak dan Tofilah.

Perjalanan aku dan Zaid di pagi hari tersebut tidak diketahui oleh rakan-rakan yang lain. Jika mereka tahu sudah pasti dikutuk dan dicop 'gila' kerana masih ingin mengembara di pagi hari raya. Namun, setiap perkara di atur sudah pasti ada matlamatnya. Perjalanan di pagi hari raya tersebut adalah untuk melihat bagaimana suasana masyarakat arab berhari raya korban. Lebih elok aku berjalan dari 'melepak' di rumah atau berdengkur di rumah. Jika mereka tertawakan aku kerana mengembara di pagi hari raya korban, aku boleh tersengeh kerana ada yang sanggup berlawan bolasepak juga di pagi hari raya.

Ternyata hari raya korban di negara arab lebih meriah dari hari raya puasa. Dan inilah yang dituntut di dalam Islam. Mereka berlumba-lumba melakukan ibadat korban, memeriahkan suasana di rumah kabilah masing-masing, memberi sedekah yang banyak hasil dari daging korban. Suasananya meriah. Pada pagi hari tersebut aku telah melalui perkampungan Mazar, Amaqah melalui jalan Tafilah lama ke kawasan perkampungan Moab Qadim (Moab Lama) yang terdiri daripada empat buah kampung iaitu Husainiah, Umariah, Khalidiah dan Faisaliah. Kawasan-kawasan yang aku lalui bersama van yang dipandu oleh Abu Suhaib ternyata meriah dengan kehadiran pagi Aidiladha.

Perancangan awal aku dan Zaid pada hari tersebut selain melihat suasana Aidiladha di bumi arab kami ingin menuju ke sebuah bukit di Wadi Al-Hisa yang dikenali sebagai Jabal Tannur. (Jabal bermaksud bukit/gunung). Ia merupakan bukit yang terletak berdekatan Sad Tannur (
Sad bermaksud Empangan). Di atas puncak Tannur terdapat kesan tinggalan sejarah dari kerajaan Nabatean.

Namun, setelah 20 minit perjalanan, van menuruni jalan curam di lembah Hisa, Abu Suhaib yang menjadi pemandu kami telah membelok ke arah kanan jalan bertanah sebelum tiba di selekoh sebenar jalan masuk ke Tannur. Apabila ditanya kenapa dia memilih jalan tersebut, dia menjawab jalan tersebut merupakan jalan yang lebih dekat untuk ke Tannur. Jadi tak mengapalah disebabkan
Ahlil Balad= penduduk tempatan yang yakin begitu. Aku percayalah padanya. Sedangkan aku beryakin terdapat satu selekoh selepas melalui empangan Tannur barulah menemui selekoh jalan bertanah untuk ke kaki bukit Tannur.

Akhirnya, sia-sia sahaja aku percaya pada Abu Suhaib. Lebih baik aku membantah seawalnya. Memang itu jalan yang 'lebih jauh' dan langsung tidak boleh ke Jabal Tannur.

Abu Suhaib telah membawa kami ke sebuah bukit batuan Volcanic yang dikenali sebagai Jabal Hamam. Bukit itu terletak berhadapan dengan Bukit Tannur dan ia dipisahkan dengan sebuah lembah dalam yang kini telah dibina empangan takungan air (bukan untuk Hydro-eletrik)

Aku, Zaid dan Abu Suhaib mula mendaki Jabal Hamam untuk tiba di puncak. Ajaibnya, Jabal Hamam yang kami daki merupakan Bukit batuan
Volcanic. Keadaan bukit itu hitam dan sekelilingnya merupakan batuan Limestone yang berwarna kekuningan. Jika di kaji dari sudut geologi, kawasan tersebut sesahihnya merupakan kawasan letupan gunung berapi purba. Proses tersebut sudah pasti berlaku jutaan tahun. Mungkin sebelum kewujudan manusia di bumi. Kerajaan silam gemar membina kota mereka dari batuan ini kerana ia lebih keras dan tidak mudah pecah. Jika difikirkan balik mungkin ini jawapan yang pernah bermain di fikiran aku ketika melawat kota Umm Jimal, Umm Qais di utara Jordan. Di mana dinding-dinding kota di bina dari batuan Volcanic iaitu batuan gunung berapi. Berkemungkinan batu-batu tersebut di ambil dari kawasan berdekatan sahaja. Bukan di import dari negara yang jauh pada ketika itu. (buktinya ada kawasan berbukit batuan hitam di dalam Jordan sendiri)

Berkat kesabaran, akhirnya kami tiba di puncak Jabal Hamam. Pemandangan sekitarnya cukup cantik. Seperti di Grand Canyon, Utah. Manakan tidak, Wadi Al-Hisa sendiri memiliki bukit berbatu yang amat cantik apabila disinari cahaya. Di kiri kanan lembah terdapat kawasan menghijau dikenali sebagai Al-Eina, di bawah bukitnya merupakan kawasan empangan air dan berhadapannya adalah bukit Tannur. Subhanallah. Cukup indah ciptaan Allah. Walaupun tidak dapat ke Bukit Tannur pada pagi itu, aku dan Zaid puas dengan misi 'tak sengaja' mendaki Jabal Hamam.

Jika mereka yang pernah melalui jalan lama dari Karak ke Tofilah, boleh melihat Jabal Hamam di sebelah kanan jalan. Satu-satunya bukit berwarna hitam yang dikeliling lembah dan bukit kekuningan.

Disitu aku pernah mendaki dengan memakai kasut pejabat Timberland (beli terpakai kat Balad Amman). Semuanya gara-gara nak cepat, kasut
hiking hilang entah ke mana dan natijahnya aku diketawa oleh Zaid sepanjang pendakian...

Monday, July 16, 2007

Kaum Phonesia Menyembah Ba'la

Kenangan di Baalbeck atau sebutan arabnya
Ba'labak.

"Minta pasport kamu". Arah seorang askar.

Aku memberikan pasport 'canggih' berwarna merah kepada askar tersebut. Penumpang-penumpang lain turut diminta mengeluarkan identiti masing-masing.

Setelah selesai, askar yang bertugas berhampiran bandar Zahle membuat isyarat tangan kepada pemandu van supaya beredar.

40 minit perjalanan dari Shtoura aku tiba di pekan Ba’labak. Sepanjang perjalanan terdapat 3 lokasi kawalan tentera yang terpaksa aku lepasi dan dilakukan pemeriksaan kenderaan dan dokumen diri.

Tentera-tentera yang berjaga bukanlah dari tentera Lubnan tetapi mengenakan seragam tentera Syria. Timbul pelbagai pertanyaan dalam diri aku pada ketika itu. Kenapa tentera Syria yang berkawal di negara Lubnan? Hendak bertanya kepada masyarakat tempatan takut membahayakan diri. Kenapa aku sibuk-sibuk untuk mengetahui hal pertahanan negara mereka. Lalu aku diamkan diri sahaja.

Aku tiba di Ba’labak, sebuah pekan yang terletak di timur negara Lubnan. Sebuah kawasan lembah bergunung bergelar Wadi Beqa'a. Seperti yang diketahui, kawasan pergunungan Timur Lubnan merupakan kubu tentera Hizbollah di Lubnan. Terutamanya kawasan Sana'in yang terletak di kawasan gunung antara Shtoura dan Ba’labak. Sebab itu, apabila aku tiba sahaja di pekan Ba’labak sudah kelihatan poster-poster pemimpin Hizbollah terutamanya Hasan Nasrullah bertampal di beberapa papan tanda di tengah-tengah pekan.

Ketika itu tahun 2002, Lubnan masih aman damai. Tahun sebelum letupan 13 Februari 2005, sebelum penangkapan dua orang tentera@anjing Yahudi di sempadan dan sebelum perang saudara yang kini sedang berlangsung. Jika selepas tahun 2005, poster-poster pemimpin Hizbollah 'bersepah' kelihatan di sana sini namun sebelum itu, poster-poster pemimpin Hizbollah jarang kelihatan kecuali di kubu-kubu mereka.

Tujuan aku ke Ba’labak bukanlah untuk 'merekrut' diri sebagai askar Hizbollah atau pergi ke kawasan kem mereka untuk berlatih senjata tetapi untuk melawat sebuah kota silam yang digelar Hayakil Ba’labak atau Temple Of Ba’labak.

Kota ini pernah ditawan oleh Khalid Al-Walid pada tahun 16 Hijrah iaitu selepas Kota Bosra di Hauran dibuka juga oleh Khalid Al-Walid dalam siri-siri pembukaan kota sebelum pembukaan Syam (Dimasyq) pada tahun 15 Hijrah. Pada tahun yang sama kota Homs turut dibuka.

Kota Ba’labak terkenal sebagai kota yang memiliki binaan batu terbesar di Timur Tengah. Kota ini turut menempatkan Hayakil atau Temple atau Kuil Baal. sebelum dijajah Rum, kota ini dipercayai milik masyarakat Phonesia atau di gelar Finiqiyyun di dalam bahasa arab.

Salah satu kuil yang masih terdapat
di dalam kota Lama Ba'labak


Siapa masyarakat Phonesia?
Melalui hasil pembacaan saya dari majalah National Geographic keluaran Oktober 2004. Masyarakat atau kaum ini dikenali sebagai orang laut dari catatan kertas papyrus yang dijumpai. Mereka berpusat di Tyre dan Ba’labak yang kini terletak di Lubnan.

Apa yang menarik hasil dari kajian kumpulan National Geographic mereka membuktikan bahawa penduduk yang terdapat di beberapa buah lokasi seperti Tyre dan Sidon adalah dari kaum Phonesia. Ia terbukti hasil dari kajian DNA tulang-tulang masyarakat Phonesia yang mereka jumpai dengan masyarakat kini yang menetap di kawasan tersebut.

Hasil kajian mereka mendapati terdapat persamaan dari ujian tersebut dan berkemungkinan mereka yang masih hidup di kawasan persisiran Mediterranean adalah dari kaum Phonesia yang turut menetap di situ lebih 2000 tahun yang lalu. Bangsa Phonesia terkenal sebagai pedagang yang hebat dan mereka meluaskan pengaruh ke Cyprus, Thasos, Rhodes sehingga ke Italy, Spain dan utara Afrika. Pelabuhan mereka yang terkenal ialah As-Sour, Byblos dan Arwad yang kini masih terdapat kesan tinggalannya di negara Lubnan.

Menurut dari maklumat NGM tersebut, terdapat satu pertemuan maklumat dari hasil bacaan saya melalui buku Atlas Rasul Wal Anbiya tulisan Ahmad Malghous. Di dalam buku tersebut dinyatakan bahawa kaum Phonesia atau Finiqiyyun telah diutuskan kepada Nabi Ilyas a.s

Nabi Ilyas a.s
Namanya Ilyas bin at-Tasyabbi. Dikatakan juga namanya ibn Yassin bin al-Aizar bin Harun bin Imran. Merupakan keturunan keempat Nabi Harun a.s. Diutuskan kepada masyarakat Finiqiyyun yang berpusat di Ba’labak. Baginda menyeru kepada kaumnya agar tidak menyembah Ba'la. Ini diterangkan di dalam Al-Quran Surat Ash-Shaaffat ayat 125 :

125. "Patutkah kamu menyembah berhala Ba'la, dan kamu meninggalkan (Ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?


Kota Ba'labak dan Kisah Dakwah Nabi Ilyas a.s

Nabi Ilyas a.s telah menyeru kaumnya agar tidak menyembah Ba'la. Dan ternyata dari maksud perkataan BA'LA BAK sendiri ialah RUMAH BA'AL. Ahli arkeologi pula mengenalpasti bahawa tinggalan binaan di Ba'labak adalah sebuah temple/kuil dan tinggalan itu adalah dari zaman Phonecian (Masyarakat Phonesia). Ini menjelaskan lagi pandangan bahawa di situlah masyarakat Phonesia menyembah berhala bernama BA'AL dan disitulah Nabi Ilyas a.s menyampaikan dakwahnya mengajak kaum Phonesia kembali ke jalan Allah.

Ketika aku berada di Ba'labak dan melalui pemerhatian yang telah di buat ternyata terdapat sebuah kuil yang amat besar di dalam kota lama Ba'labak. Pada kuil tersebut terdapat ukiran-ukiran patung di atas bumbung kuil dan di dalam kuil. Berkemungkinan itulah patung Ba'la yang disembah oleh masyarakat Phonesia satu ketika dahulu?

Kesan-kesan sejarah yang Allah tinggalkan kepada umat sekarang untuk manusia berfikir. Al-Quran yang diturunkan sudah lengkap sebagai perlembagaan hidup manusia (tidak perlu manusia bersusah payah mencipta undang-undang baru lalu melawan undang-undang Allah).

Selain itu Allah ceritakan kisah-kisah para anbiya' terdahulu untuk manusia berfikir dan bermuhasabah diri. Allah tinggalkan kesan-kesan binaan masyarakat terdahulu yang pernah menerima dakwah oleh para rasul dan mereka telah menolaknya sebagai renungan dan peringatan untuk umat Muhammad di akhir zaman ini.

Jika umat terdahulu terus ditimpa bala oleh Allah jika tidak mahu beriman. Berapa juta peluang yang telah Allah beri kepada kita untuk bertaubat setelah berbuat silap?


Jika kebenaran yang kita cari, confirm Allah beri!

Sunday, July 15, 2007

"Saat 11:00 Tomorrow"

Tiket Bas dari Diyarbakir ke Adana. Bas bergerak dari Diyarbakir 11.35 malam dan
tiba di Adana 6.30 pagi. Perjalanan sejauh 550km melalui kawasan berbukit.
Tambang dikenakan 25 YTL (RM67.30)


"Jika aku membuat keputusan ke Erzurum, aku kena berada di Turkey lagi 2 hari. Bajet aku akan bertambah lagi 100 Lira Turkey"

"Atau aku kembali ke Adana sahaja".

"Jika aku terus ke Erzurum, mungkin aku mahu ke Batman atau Agri pula. Silap-silap aku buat keputusan mahu ke Mount Ararat"

"Jika aku terus ke Adana dan balik ke Syria mungkin lebih baik. Duit jimat"

Itulah apa yang difikirkan di dalam hati dan fikiranku setelah berada di Terminal Bas Diyarbakir, bandar di Timur Turki. Kepalaku terus berfikir sambil tanganku terus mengira-ngira bajet kewangan untuk aku teruskan diari kembaraku di Turki. Jika aku terus balik ke Syria melalui Adana, duit aku masih ada untuk berbelanja. Jika aku ke Erzurum, duit aku masih ada untuk berbelanja tapi dalam seminggu aku terpaksa 'mengadap' roti. Lupakan sementara nasi.

"Tak boleh..tak boleh". hatiku membantah seperti terus membuat keputusan.

Aku bangun dan melangkah ke kaunter-kaunter tiket bas di Terminal Bas Diyarbakir. Ketika itu kaki-kaki yang diupah sudah 'berbaris' untuk menarik pelanggan ke syarikat bas mereka.

"Istanbul?"

"Alanya, Denizli?"

"Erzurum?"

"Ankara?"

"Adana, Mersin, Tasuchu?"

"Ne Kadar Billeti Istanbul? Aku bertanya kepada seorang lelaki berhadapan kaunter sebuah syarikat bas bernama METRO.

"Yet-meesh Lira" Dia menjawab.

"Mahal juga, 70 Lira Diyarbakir ke Istanbul" kata hatiku. Tapi padanla, hampir sehari perjalanan.

Sengaja aku bertanya memberi ruang lagi masa untuk aku berfikir ke mana halatuju aku malam tersebut. Sedangkan bukan tujuan aku ke Istanbul. Aku mengucapkan terima kasih dan beredar menuju ke arah kerusi di tengah medan Terminal Bas.

Dua pilihan sahaja ketika itu, samada aku terus Erzurum atau kembali semula ke Adana.

Akhirnya aku bergerak ke sebuah kaunter syarikat bas yang tertulis di atasnya VAN, ADANA. iaitu syarikat Ercis Seyahat yang menawarkan perkhidmatan bas ke Van dan ke Adana. Van adalah sebuah tempat yang terletak berdekatan sempadan Iran manakala ADANA bandar keempat terbesar di Turki yang terletak 190km dari bandar Antakya iaitu bandar terakhir yang aku akan lalui sebelum masuk ke negara Syria.

"Aku Mettin" lelaki muda yang menjaga kaunter bas tersebut memperkenalkan diri.

"Aku Mohammad" aku membalas keramahan Mettin.

"Aku mahu ke Adana, berapa harga? tanya aku pada Mettin.

" 25 Lira" Jawab Mettin

"Pukul berapa bas bergerak" aku terus bertanya untuk mendapatkan maklumat.

"11.00, tomorrow" balas Mettin.

"Tidak, I want this night not tomorrow. Aku pun sudah terkeluar cakap bahasa inggeris, campur bahasa melayu, campur bahasa Turki malam tersebut.

"Yes..Yes..saat 11.00 tomorrow.." Mettin mengiya-iyakan cakapnya. Aku sudah mengaru kepala.

Aku mengulang-ngulang pada Mettin yang aku mahu tiket malam tersebut bukan esok. Dia pula asyik mengulang kata-kata yang sama "saat 11.00 tomorrow" (saat bermaksud JAM di dalam bahasa Turki)

Akhirnya datang seorang lelaki menghampiri aku dan Mettin. Mettin pun bercakap pada lelaki tersebut tentang 'perbualan' dia dan aku. Kemudian lelaki tersebut mengeluarkan sebuah kertas dan menulis atas kertas tersebut 23:00 dan menunjukkan 2 jarinya untuk dia maksudkan lagi 2 jam bas akan bertolak. Aku pun cakap pada lelaki tersebut memang aku mahu ke Adana malam ini bukan esok.

Kemudian lelaki tersebut berbual dengan Mettin seketika. Aku terdengar dalam mulut Mettin terkeluar perkataan Begun dan Tomorrow. Lelaki yang seorang lagi mengeleng-geleng kepala dan bercakap beberapa patah perkataan Turki dan dalam percakapannya di sebut Tomorrow dan Yarin. (Yarin bermaksud esok dan Begun hari ini di dalam bahasa Turki)

Kedua-dua mereka ketawa dan Mettin memandang ke arahku. Aku tersenyum sambil melihat Mettin.

"On Bir..Begun?" tanya aku padan Mettin. Dia menangguk-anggukan kepalanya.

"Kenapala perkataan begun tue aku tak lihat dari awal!" Marah hatiku sambil aku menutup Kamus Turki-B.Inggeris yang berada ditangan..


Saturday, July 14, 2007

Biarkan Aku..

Kenangan di Safita, Tartous

"Kau tak takut ke mengembara berseorangan?" Tanya seorang sahabat

"Adalah sedikit risau, tapi aku lebih seronok" Ringkas jawapan aku beri.

Ketika berada di bumi Jordan, aku gemar mengembara bersendirian ke mana-mana lokasi yang aku ingin pergi. Bagi aku ianya lebih memudahkan pengembaraan yang bakal aku tempuhi dan tidak banyak 'diganggu' oleh 'masalah-masalah' lain.

Jika ditanya mengapa aku lebih suka mengembara bersendirian, jawapan yang pasti aku berikan, aku lebih senang bersendirian kerana sebarang keputusan hanya terletak kepada diri aku sahaja. Jika aku mahu ke sesuatu tempat, aku bebas mengatur perjalanan dari segi masa, kewangan bersendirian tanpa ada bangkangan dari pihak kedua atau ketiga atau seterusnya. Aku dapat bayangkan, jika aku mahu tinggal di dalam Petra 3 hari, tetapi sahabat yang ingin turut serta hanya mahu 2 jam sahaja di dalam Petra. Itu sudah melawan keinginan diri. Sudah pasti aku tidak akan bersama dengan orang sebegitu.

Aku bawa satu kisah 3 orang sahabatku mengembara ke Istanbul. Mereka tiba seawal pagi di Otogar Istanbul. Setelah mereka berjalan pada hari tersebut di Istanbul, salah seorang dari mereka berkata,

"Jom kita balik, gambar pun sudah ambil, bukan ada apa sangat kat Istanbul ini".

Apa lagi, terkejut la 2 orang sahabat lagi. Baru sahaja sampai Istanbul sudah nak balik semula ke Syria. Sudahlah perjalanan ke Istanbul dari Syria lebih 24 jam, tiba pula di bandar yang penuh dengan tinggalan sejarah dan pemandangan yang cantik. Sudah nak balik! Alasan yang diberikan telah mengambil gambar kenangan di situ. Sudah mencukupi baginya sehari di Istanbul dan cukup dengan beberapa keping gambar kenangan.

Jika aku berada di dalam situasi begitu, mahu naik 'gila' jadinya.

Dari kisah sahabat aku di atas, mudah aku simpulkan bahawa setiap orang berlainan hadaf atau tujuannya mengembara. Ada setengah orang cukup sampai di satu tempat, bergambar kenangan dan pulang, ada setengah orang pula ingin pergi ke suatu tempat sahaja, biar lama di sesuatu tempat dan tujuannya hanya bersantai-santai bukan untuk mengambil maklumat lokasi-lokasi yang telah dilawati.

Dengan sebab 'banyak kepala, banyak idea' inilah yang membuatkan aku tidak gemar berjalan secara berkumpulan. Jika aku membuat keputusan untuk mengembara secara berkumpulan ia bukanlah hadir secara rela. Tetapi terpaksa dan hati aku 'cuba-cuba' merelakan perjalanan yang aku tempuhi.

Bagi diri aku, tujuan aku mengembara sudah pastinya ingin mengkaji tentang sejarah lokasi yang aku ingin tiba, berada lama di situ dan memahirkan otak aku dengan lokasi tersebut dan mengaut segala maklumat yang boleh aku perolehi. Aku pernah mengembara bersama sahabat-sahabat ke beberapa lokasi diluar negara Jordan. Ketika itu aku telah merancang mengembara bersendirian di lokasi tersebut. Namun akhirnya beberapa sahabat dapat maklumat yang aku ingin ke lokasi tersebut dan mereka ingin ikut serta. Mulanya aku sudah tak senang duduk. Namun ketika itu aku mati alasan untuk tidak membenarkan mereka turut serta. Akhirnya, aku terpaksa mengembara 'beramai-ramai' ketika itu.

Natijahnya, itulah pengembaraan yang paling memenatkan otak aku. Aku tidak dapat apa yang aku mahu. Aku terpaksa berbelanja lebih, aku terpaksa 'berdiam' lebih, aku kena mengeluh lebih. Paling rugi aku tidak dapat sampai ke lokasi-lokasi yang aku ingin pergi. Puncanya, mengembara beramai-ramai dan bila dah ramai banyak otak yang berfikir dan memberi cadangan itu dan ini.

"Tak payahlah kot kita ke tempat tu. Dah banyak tempat batu-batu kita dah pergi"..satu suara bercakap. - Aku raikan sahabat-sahabat dan redha.

"Takkan nak makan sandwich sahaja. Carilah makanan lain pulak"..
satu suara bercakap.- Aku raikan sahabat-sahabat dan redha.

"Takkan nak jalan kaki. Jauh. Naikla bas awam ke, teksi ke "
satu suara bercakap- Aku raikan sahabat-sahabat dan redha.

"Tak payahlah masuk ke Qala'ah ni. Sama sahaja dengan Qala'ah-Qala'ah yang kita dah pergi sebelum-sebelum ini".
satu suara bercakap- Aku bantah. Mereka berkeras. Akhirnya aku raikan sahabat-sahabat.

Jika mereka bertanya lagi kenapa aku mengembara bersendirian, cerita di atas adalah jawapannya. Jika ingin mengembara berkumpulan sekalipun, aku akan cari mereka yang betul-betul 'sekepala' denganku.

Thursday, July 12, 2007

Mencari Ketenangan di Iraq

Senja di Hazman. Gambar ini di ambil dari bukit berhampiran persimpangan ke perkampungan Iraq.
Kelihatan di sudut atas kanan
tapak-tapak garam kepunyaan kilang memproses garam milik
pengusaha dari Jordan dan Israel.


Petang itu melalui jalan berbukit melalui kawasan padang gandum yang luas. Jika aku melaluinya 2-3 bulan sebelum itu sudah pasti ia sedang menghijau. Kini ianya menguning meninggalkan kesan jerami gandum yang sudah dituai, padang tersebut kini sudah kering, berdebu.

Petang itu aku menaiki coaster Karak menuju ke Iraq. Di dalam coaster, kebanyakkan mata memandang pelik ke arahku. Mungkin jarang ada orang luar menaiki
coaster tersebut ke tempat mereka.

"Mahu ke mana?" Tegur seorang perempuan yang duduk di kerusi bersebelahan aku. Gayanya macam pelajar universiti Mu'tah.

"Ke Iraq". Aku menjawab. Dia tergelak "Buat apa ke sana? Kau tinggal di sana?" Aku menjawab "Aku mahu ke
Muthalath Iraq, melihat pemandangan cantik dari bukit di situ".

"Kau pelajar Mu'tah?" Dia bertanya lagi.

Tatkala itu dah semakin banyak mata-mata lelaki arab memandang ke arahku. Sejak dari mula lagi dah ada mata memandang namun setelah makin 'rancak' perbualan aku dengan minah arab tersebut, makin 'tidak puas hati' arab. Aku hanya menangguk-anggukan kepala aku pada minah arab itu.

Masyarakat arab di kawasan perkampungan masih menjaga adat-adat pergaulan. S
uatu perkara yang memalukan jika seorang lelaki tanpa ada hubungan keluarga bersembang dan berbual. Aku berhenti bercakap dengan minah arab itu bagi menjaga adat arab yang memelihara syariat.

Dalam masa 15 minit perjalanan aku tiba di Muthalath Iraq (simpang tiga jalan ke Iraq). Iraq yang aku masukkan bukanlah negara Iraq. Tetapi sebuah perkampungan terpencil yang terletak kira-kira 8km dari pekan Mu'tah. Petang itu aku berhenti di persimpangan jalan menuju ke perkampungan Iraq untuk menenangkan fikiran dan 'menukar angin' setelah otak 'dibebani' dengan beberapa masalah. Ternyata apabila tiba di tempat pemandangan yang cantik, angin 'naseem' (angin sepoi-sepoi bahasa) otak menjadi lebih tenang dan sedikit sebanyak melupakan sementara masalah yang bermain difikiran.

Dari kawasan bukit di persimpangan jalan ke Iraq jelas kelihatan sebuah kampung terpencil yang dikelilingi pohon menghijau. Perkampungan Iraq yang berada di dalam daerah Hazman, di Barat daerah Mu'tah dan Mazar.

Iraq dikenali sebagai 'mangkuk makanan' di Mu'tah dan sekitarnya kerana kawasan tersebut terdapat banyak mata air yang masih mengalir dan dengan nikmat air tersebut penduduk di kawasan Iraq banyak bercucuk tanam dan hasilnya banyak 'menampung' bekalan jualan makanan berupa sayuran di kawasan Mu'tah dan Karak. Kawasan mata air tersebut dikenali dengan Ain Qala'ah turut menyalurkan bekalan air bersih ke kawasan Mu'tah dan sekitarnya.


Dari kawasan bukit di persimpangan jalan ke Iraq juga turut boleh dilihat pemandangan kawasan Jazirah Lisan iaitu kawasan di selatan Laut Mati. Dari bukit ini aku dapat lihat dengan jelas petak-petak garam yang diusahakan oleh pengusaha kilang kepunyaan Jordan dan Israel untuk tujuan penghasilan garam.

Pemandangan petang itu amatlah cantik. Namun hati masih terkilan ketika memikirkan tanah di seberang laut mati tersebut sudah hampir 59 tahun 'dirompak' oleh bangsa Yahudi. Bilakah tanah tersebut akan kembali menjadi milik Islam semula? Bilakah bantuan Allah akan tiba? - Melihat keadaan 'kehancuran' umat Islam Arab khasnya dan umat Islam seluruh dunia mampukah semua bersatu untuk menentang yahudi? Jika OIC yang kini kononnya menjadi medan penyatuan umat Islam, mampukan ada perbincangan, perancangan dan seterusnya membuahkan resolusi untuk menentang kebangsatan yahudi menindas umat Islam. Mampu? Tidak Mampu? atau tiada jawapan untuk kedua jawapan tersebut.


Aku masih memikir tentang 'kecilakaan' bangsa yahudi ketika seorang badwi menegur aku dari belakang. "Gawwak" Kata lelaki itu. "Alhamdulillah Bikhair" aku menjawab sapaan lelaki tersebut. Gawwak kebiasaanya dilafazkan oleh masyarakat badwi yang boleh diterjemahkan sebagai Apa Khabar kamu?. Jika bahasa arab baku menggunakan Kaifahaluka, bahasa pasar arab pasar di Mu'tah dan Karak menggunakan Kefik atau Chefik. (Huruf Kaf berbunyi huruf Cha)..untuk bertegur sapa di dalam masyarakat mereka.

Setelah berbual beberapa ketika dengan lelaki tersebut, dia beredar bersama kambing-kambing peliharaannya menuju ke sebuah bukit berdekatan jalan turun ke sebuah perkampungan bernama Aiy. Dari kecil dia menetap di situ dan berpindah-randah ke kawasan sekitar mengikut musim cuaca.


Keindahan bumi Allah di Hazman. Jauh kelihatan di bawah ialah perkampungan Iraq.
Perkampungan berhadapan bukit dikenali dengan Taibah atau nama lamanya Khan Zira.


Aku duduk di kawasan bukit tersebut sambil memerhati keindahan dan ketenangan di perkampungan Iraq sehingga kelihatan matahari terbenam menghampiri batas-batas garam di Laut Mati. Cahaya lampu sudah kelihatan di persisiran batas tanah Palestin yang kini 'dipinjam secara hutang' oleh Israel.

Beberapa minit selepas itu kedengaran azan dari perkampungan Iraq. Aku bergerak menuju ke persimpangan jalan Iraq untuk menumpang mana-mana kenderaan menuju ke Mu'tah..


Tuesday, July 10, 2007

Reynald Chatillon Telah Tewas!

Bersama pelajar Malaysia dari Mesir di pintu masuk kota Karak
(9 Julai 2007)


Bandar Karak terletak kira-kira 121 km dari ibu kota Amman, Jordan. Di bandar inilah pernah mencatat sejarah kejayaan tentera Sallehuddin Al-Ayubi menawan kota Karak dari tangan tentera Salib. Kota Karak kini berdiri kukuh di salah satu sudut bukit bandar Karak berhadapan dengan Jabal Sallajah.

Sejarah awal kota
Penempatan di Kota Karak telah bermula sejak zaman batu lagi apabila artifak batu zaman tersebut telah ditemui di tapak arkeologi. Ia sekaligus membuktikan kawasan ini telah diduduki sejak ribuan tahun dahulu. Kerajaan Moab pernah menguasai Karak seterusnya ia di duduki oleh kerajaan Rum.

Pertemuran Tentera Sallehuddin dan Tentera Salib di Kota Karak
Pada tahun 1161 masihi, kota ini dikuasai oleh tentera Salib yang diketuai oleh Reynald Chatillon yang pernah menewaskan tentera Sallehuddin Al-Ayubi di Monsgisart pada tahun 1177 dan mereka sering menyerang pedagang arab yang berlabuh di Laut Merah terutama di Ailah (Aqaba pada ketika ini).

Pada tahun 1187 masihi, tentera Sallehuddin Al-Ayubi telah mengepung kota ini selama 8 bulan sehingga memaksa tentera Salib menjual anak isteri untuk mendapatkan makanan dan air. Sallehuddin Al-Ayubi telah berjaya menawan kota ini pada tahun 1188 masihi. Sallehuddin Al-Ayubi bersama pasukannya pada awalnya telah membina kem di sebuah kawasan bernama Hesban berdekatan dengan Amman-Madaba ketika ini.

Di Hesban Sallehuddin telah berkubu dan merancang strategi untuk merampas kota Karak dari tangan Reynald Chatillon dan akhirnya kejayaan menjadi milik Sallehuddin Al-Ayubi. Reynald Chatillon Telah Tewas!


Bermula dari saat kemenangan itu, kerajaan Islam terus menerus menguasai kota tersebut. Kerajaan Mamluke telah banyak berusaha membangunkan kota ini. Pada tahun 1263 masihi Sultan Zahir Baybar telah menguasai kota ini dan telah melakukan perubahan dan pembangunan terhadap kota. Masjid dan istana dibina di dalam kota ini.

Beliau turut menambah ukiran ayat suci Al-Quran pada dinding kota dan beliau turut bertanggungjawab memperdalam parit kota. Gempa bumi pada tahun 1293 telah memusnahkan sebahagian besar kota. Kerajaan Turki Uthmaniah menguasai kota ini sehingga awal kurun ke-20 sebelum tewas ketika pemberontakan Arab dan kini ia dijaga sebagai lokasi sejarah dan arkeologi oleh kerajaan Jordan.


Kesan Mihrab (petunjuk arah kaabah) yang terdapat di masjid lama binaan kerajaan Mamluk.
Kesan ini membuktikan kehebatan Islam menguasai kota ini setelah ianya jatuh
ke tangan Islam dari tentera Salib.

Monumen yang masih kekal

Antara monumen yang masih kekal di kota Karak ialah Istana Kerajaan Mamluk dan Masjid Mamluke yang terletak berhampiran kubu pertahanan selatan yang juga dibina oleh pemerintah Mamluk. Lubang memanah dapat dilihat di sekeliling dinding kota untuk tujuan pertahanan. Di bahagian tengah bersebelahan halaman atas terdapat gereja era salibi dan bersebelahannya (bahagian bawah) ialah sacristy iaitu tempat menyimpan bekas atau mangkuk suci di dalam gereja.

Turut ditemui di dalam kota adalah berek tentera dan dapur. Di bahagian dapur terdapat batu untuk mengisar gandum, batuan rata dan sebuah tempat membakar. Sistem pengairan air amat baik di dalam bilik dapur tersebut.

Berdekatan dapur dan berek terdapat satu monumen yang di ukir pada batu menunjukkan tentera berkuda Nabatean dengan tombak di belakangnya. Kelihatan juga kepala kuda terukir pada monumen tersebut dan ia hampir terhakis dan wajah tentera telah hancur. Ahli arkeologi menyifatkan ia sebagai batu tanda peringatan perkebumian kaum Nabatean.


Sunday, July 8, 2007

Tahniah Untuk Rakyat Jordan

7 benda ajaib dunia yang baru telah diumumkan di dalam satu majlis
deklarasi di Lisbon, Portugal pada 07.07.07.

Dari kiri atas: Chichén Itzá, Mexico- Christ Redeemer, Brazil- The Great Wall, China- Machu Picchu, Peru
Dari kiri bawah : Petra, Jordan- The Taj Mahal, India- The Roman Colloseum, Italy
(http://www.new7wonders.com/index.php?id=633)

Ucapan tahniah diucapkan kepada Raja Abdullah dan rakyatnya kerana sebuah lokasi sejarah yang berada di negara mereka kini telah terpilih menjadi salah satu 7 benda ajaib di dunia?

Semalam 07.07.07 menjadi tarikh 'pilihan' ramai manusia untuk melakukan pelbagai acara untuk memahat dan mencipta sejarah. (Tak kurang di Malaysia ramai mengadakan majlis perkahwinan pada tarikh tersebut dan ada pasangan mengharapkan kelahiran anak mereka di tarikh tersebut). Ramai berpandangan ia satu tarikh yang 'unik' dan ada kelebihan. Apapun bagi aku, tidak ada apa yang menarik dengan 'kepercayaan' nombor-nombor berikut. Biasa


Penganjur untuk pengisytiharan 7 benda ajaib dunia yang baru turut memilih tarikh tersebut sebagai tarikh 'keramat' mereka. Pemilihan ini telah disertai oleh masyarakat seluruh dunia melalui undian dari internet dan sms mobile. 21 buah lokasi yang dianggap ajaib (dipilih dari beberapa kriteria yang telah ditetapkan) telah bertanding sejak beberapa bulan yang lalu dan kini telah diumumkan keputusannya.

Mungkin selepas ini Menteri Pelancongan Dan Arkeologi Jordan Osama Dabbas boleh berkira-kira untuk memajukan Petra setelah 'diangkat martabat' sebagai antara lokasi sejarah terkemuka di dunia.

Dalam rangka projek memajukan lokasi sejarah Jordan bermula 2004 dan akan berakhir 2010, hasilnya cukup baik apabila melihat kerajaan Jordan merupakan salah satu kerajaan di bumi arab yang telah mengambil inisiatif memelihara makam-makam para Anbiya' dan Sahabat untuk tujuan pelancongan. Papan Tanda jalan menunjukkan arah lokasi-lokasi sejarah kini kian memenuhi 'ruangan' tepi-tepi jalan di Jordan. Mana-mana kawasan lokasi arkeologi yang sebelum ini dianggap 'batuan berlonggok dan sampah keras' kini sudah semakin menjadi tumpuan.

Semua ini telah berjaya diprogramkan oleh kerajaan Jordan sejak tahun 2004. Dan kini, bermula 7 Julai 2007, PETRA bakal menjadi satu lokasi tarikan pelancong seluruh dunia apabila telah menjadi benda 'ajaib' setelah beberapa bulan di undi oleh 'manusia-manusia penyebab keajaiban' diseluruh dunia. Sudah pasti selepas ini Petra yang 'lengang' dari sebarang kemudahan akan menjadi sebuah lokasi sejarah yang cukup menyediakan ruang kemudahan.

Tandas awam akan bertambah di dalam kota, tong-tong sampah akan bertambah, pamplet dan penerangan kota Petra akan diedarkan percuma di dalam kota. Tanpa semua kemudahan itu harga tiket masuk ke kota petra sudah JOD 21 (RM 111). Mungkin selepas ini Mazen Homoud Pengarah Pelancongan Jordan boleh berbincang menaikkan harga setelah kemudahan disediakan.


Begitulah kisah Petra yang sebelum ini telah meniti dibibir masyarakat dunia. Bah kata 'orang dulu-dulu' Bila datang ke Jordan seperti tidak cukup 'syarat sah' jika tidak melawat Petra. Nah! Kini sudah menjadi salah satu kota ajaib di dunia. Masakan orang tidak tertumpu untuk hadir ke kota ini?

Bila disebut tentang keinginan, kemahuan untuk ke kota ini, sudah pasti ia tidak dapat disangkal. Kecualilah mereka yang memang malas untuk pergi melancong dan mengetahui sejarah di sana, atau tidak cukup bajet kewangan yang ada. Bagi aku ada cerita peribadi yang terlalu membuatkan aku ingin menjejaki Petra.

Tiba di Jordan 17 Jun 2000, sebulan berada di Jordan aku telah memasang cita-cita menjejaki kota Petra. Cukup lama aku mengambil masa dan peluang untuk ke kota Petra. 6 bulan aku 'menanggung penderitaan' hati untuk tiba di situ. Akhirnya pada 7 Februari 2001. Allah takdirkan rezeki pertama aku tiba di kota Petra dengan percuma ketika Rehlah Merentas Masa anjuran Badan Kebajikan Anak Perak Jordan (BKAPJ). Ketika itu aku amat berterima kasih kepada abang dan sahabatku Al-Fadhil Ust Imran Ibrahim yang telah menjalankan tanggungjawab sebagai pemandu pelancong yang amat baik. Cukup petah dan bermaklumat.

Ketika kali pertama memasuki Petra sudah pasti tidak mencapai 'nikmat' menjelajah ke seluruh lokasinya. Manakan tidak, ia rehlah persatuan. Berjalan terhad kerana mempertimbangkan masa dan aturcara yang telah diatur. Namun, ia tetap memuaskan hati aku sebagai langkah pertama aku mengunjungi Petra.

Sungguh menakjubkan dan otak aku pada ketika itu sentiasa terfikir terhadap kaum yang cukup hebat di beri kemahiran oleh Allah. 'Mengukir gunung untuk dijadikan rumah mereka!..Hebat!..Sehebat manapun kerajaan Rum membina binaan. Mereka tidak mampu mengukir gunung, mereka hanya mampu membongkahkan batu-batuan dan membina kota mereka'.

Selepas dari ziarah di kota Petra untuk rehlah tersebut aku telah bertanya kepada Ust Imran mengenai Petra. "Kota Petra tue kaum Tsamud ke yang ukir?

Dia menjawab "Macamni Min, ahli sejarah mengatakan ini kota yang dibina oleh kaum Anbad, Mike tahu Anbad? Anbad ni..Anbad ni..merupakan kerajaan arab juga. Mungkinla..kota ini ada kaitan dengan kaum Tsamud. Tue pandangan ana la.."


Sejak itu aku cuba mendalami maklumat mengenai kota Petra. Saban minggu, saban bulan, saban tahun jika berpeluang aku akan ke Petra. Banyak buku tentang Petra aku beli dan aku baca di perpustakaan Universiti Mu'tah. Biarlah apa orang nak kata ketika itu. Yang pasti aku gembira dengan kerja aku dan aku 'bermaklumat' tentang Petra. Sehinggakan pada ketika itu masyarakat arab sendiri telah memberi gelaran kepadaku 'Abu Hajar'.

Fokus aku mengkaji dan membaca sejarah Petra hanya satu.
'Benarkah Kota Petra adalah tinggalan Kaum Tsamud? Jika tidak, Di mana kota kaum Tsamud ?'

Tidak cukup dengan bacaan, aku telah berjumpa dengan beberapa pensyarah di Jabatan Sejarah dan Jabatan Arkeologi dan Pelancongan di Universiti Mu'tah. Mereka tetap berpendapat bahawa Petra telah diukir oleh sebuah kaum yang bernama Anbad dikenali dengan kerajaan Nabatiah di dalam bahasa arab atau di dalam bahasa Inggeris disebut Nabatean.

Namun hati aku kuat mengatakan bahawa Petra adalah tempat kaum Tsamud yang diutuskan kepada Nabi Saleh a.s. Untuk entri mendatang aku akan cuba 'kisahkan' kajian aku mengenai kota Petra hasil dari bacaan dan tinjauan yang telah dilakukan

Kali terakhir aku menjejaki Petra pada Februari 2007 bersama Rehlah Keluarga Ust Mujahid, Ust Sagol dan Ust Razzi Amman. Ada rezeki selepas ini aku memasang niat untuk menjejaki 'kampungku' PETRA, buat kali ke 46.